Kenapa Harus Kurangkan Membaca, Banyakkan Berfikir oleh Encik Imran Rasid

 

(Penafian: Artikel merupakan copy paste, bukan artikel sendiri. Sekadar untuk simpanan peribadi)


Sebagai pembaca buku tegar, tentunya aneh apabila ada orang berpesan: “Kurangkan Membaca, Banyakkan Berfikir”. Bukankah membaca itu juga sebahagian daripada usaha berfikir? Tiap baris dan huruf yang dibaca, tiap-tiap idea yang dilontarkan dalam sesebuah teks, tidak akan difahami sekiranya ianya dibaca tanpa berfikir. Mustahil!

Ya, pandangan itu tidak salah. Tetapi bukan itu yang saya maksudkan. Apa yang cuba disinggung dalam artikel ini adalah gejala membaca yang menggila sehingga mengabaikan kepentingan untuk memberi ruang berfikir. Maksudnya, membaca menjadi “end”, suatu maqasid, dan bukannya suatu “means”, atau sarana, bagi memberdaya pemikiran.

Saya sebenarnya terilham untuk mengulas hal ini apabila terbaca sebuah sajak Pak Samad (A. Samad Said), berjudul “Dalam Librari”. Antara petikannya menyebut:

Dalam librari
aku tersengguk
seorang tua
tersenyum menegur:
Tak guna
membuka buku
menutup mata.
Kan elok
menutup buku
membuka mata?

Seruan Pak Samad, melalui teguran orang “tua” itu, saya fikir bukanlah bermaksud kita berhenti membaca dan mula berkhayal. Siapa yang mengenali Pak Samad tentunya tahu betapa seniman agung itu seorang yang “gila buku”. Khutub khanahnya saja boleh membangkitkan rasa cemburu rata-rata pembaca tegar di Malaysia. Jadi, apakah maksud tersirat di sebalik teguran ini?

Kebetulan, beberapa bulan lepas saya bermuhasabah memikirkan tabiat membaca saya. Ada satu masalah yang merungsingkan saya. Hati saya terdetik: “Sepanjang 20 tahun lebih bergiat dalam aktiviti membaca, dengan ratusan kertas akademik, dan puluhan buku-buku non-fiksi, sejauh mana sebenarnya kandungannya benar-benar melekat dalam kepala? Hanya secubit!”

Ya, kalau setakat mengingat secara runcit-runcitan, atau sekadar memetik-metik nama dan konsep secara umum; itu tidak menjadi masalah. Tetapi sejauh mana kita (pembaca tegar sekalian) benar-benar mengingati perincian idea dan hujah yang digariskan dalam setiap bacaan yang dibuat? Takkanlah setelah beratus-ratus jam dihabiskan untuk membaca, kita hanya boleh mengulas secara pukal dan umum saja?

Kita sebenarnya tidak mampu mengingati (atau memahami) kandungan bacaan yang dibuat sebab kita jarang memikirnya secara masak. Ramai dalam kalangan kita membaca seperti sedang berlumba, habis saja satu buku lekas diganti dengan buku lain. Buku yang dipilih juga dibaca secara gopoh, tidak cermat, dan paling penting, tidak sabar.

Keasyikan membaca terikat dengan tindakan menghabiskan sesuatu bacaan, bukan dengan penerokaan idea dan pengukuhan pemahaman. Sebab memahami dan mendalami sesuatu idea itu sebenarnya payah dan melelahkan. Walhal, tidak sedikit yang membaca untuk seronok-seronok atau merasa “high” semata.

Mungkin saya tak boleh pukul rata masalah ini kepada semua pembaca. Tentunya ramai yang berkecuali dalam hal ini. Dan secara umumnya, tak salah untuk membaca “for leisure” berbanding dengan membaca “for serious study”. Tetapi, kebimbangan saya adalah apabila penuntut ilmu membaca secara serius dengan mindset membaca “for leisure”. Ini mematikan budaya kritis dalam proses pembelajaran.

Secara peribadi, muhasabah ini memaksa saya bertanyakan sejauh mana saya serius dalam membaca. Keseriusan ini diukur berdasarkan seserius mana saya cuba memahami dan mendalami kandungan yang dibaca.

Misalnya, adakah saya bersedia mengulang baca sesuatu teks (walaupun ghairah dan tak sabar nak baca teks lain)? Adakah saya sedia membaca dengan perlahan sambil mencatat nota-nota yang terperinci tentang idea yang dibahaskan? Adakah saya sanggup berhenti sejenak dari membaca, dan termenung memikirkan kandungan bacaan dengan mendalam.

Bagi seseorang yang gila membaca, berhenti sejenak daripadai membaca untuk berfikir dan menangkap semula intipati bacaan adalah sesuatu yang susah sebenarnya. Meresahkan!

Hari ini saya lebih memilih untuk memulakan sesuatu bacaan. Ada buku yang saya letakkan sebagai “readings for leisure” dan ada buku yang saya kategorikan sebagai bacaan serius. Bacaan serius bermakna ada komitmen tertentu yang harus saya lunaskan.

Antaranya, seperti menulis nota dan menyediakan ruang untuk meneliti idea-idea atau maklumat yang dibaca. Dalam dunia kajian sekarang, ada macam-macam sistem nota yang diperkenalkan bagi membantu kita menghadam bahan bacaan dengan lebih baik.

Misalnya, antara yang tersohor ialah Nota Zettelkasten, atau sistem kad, yang diguna pakai oleh sosiologis Jerman, Niklas Luhmann (1927–1998). Luhmann mengguna pakai sistem nota ini untuk mencatat idea-idea yang dikutip daripada kajian beliau dan menghubungkannya dengan bacaan dan kepelbagaian tema yang beliau telusuri. Antara hasilnya adalah dua jilid tebal Die Gesellschaft der Gesellschaft (“The Society of Society”).

Nota-Nota Luhmann dikaji oleh ramai pendidik dan sejarawan intelektual bagi memahami bagaimana idea-idea besar berjaya dilahirkan. Sebahagian nota beliau telah diarkib dalam bentuk digital dan boleh dilihat sini.

Sesiapa yang berminat untuk mengadaptasi metod Zettelkasten ini boleh membaca How to Take Smart Notes: One Simple Technique to Boost Writing, Learning and Thinking oleh Sönke Ahrens, atau Digital Zettelkasten: Principles, Methods, & Examples oleh David Kadavy.

Kekuatan metod Zettelkasten ini ialah sistem untuk menghubungkan nota-nota dalam setiap bacaan. Bagi mempertajamkan kaedah pembacaan serius pula, boleh rujuk karya agung Mortimer J. Adler, How to Read a Book, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1940.

Perlu juga didedikasikan waktu-waktu untuk mengingati semula poin-poin yang dicatat. Maksudnya, nota-nota yang dicatat bukan untuk diperam dan tidak lagi disemak selepas disimpan. Secara peribadi, saya kini cuba meletakkan waktu tertentu setiap hari bagi menyemak nota-nota yang dicatat. Nota ini dikategorikan, diperbaiki, ditambah dan dihubungkan dengan nota-nota lain. Bahkan, tak salah pun sekiranya dilebihkan waktu “memproses” (baca: memikirkan) nota berbanding waktu membaca itu sendiri.

Kesimpulannya, sebagai penuntut ilmu, jangan mengelak atau culas daripada kerja-kerja pembelajaran. Sebelum ini saya ada mengulas tentang budaya speed reading kontra pembacaan mendalam. Pembacaan yang mendalam tentu sekali memerlukan disiplin yang ketat dan usaha yang berganda.

Dan pembacaan tidak terhenti apabila muka surat terakhir selesai diselak. Ianya harus difikirkan berulang-ulang agar kandungannya tidak mati dalam fikiran, sebaliknya merimbun dan bercambah dalam kehidupan.

Comments

Popular posts from this blog

BAHAN BANTUAN MENGAJAR ELEKTRONIK