Tips perancangan kewangan untuk orang muda oleh Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar


Zaman muda tiada siapa membimbing saya berkenaan perancangan kewangan.
Ya, saya pernah muda.
Pada zaman tiada internet dan tiada medsos untuk saya belajar mengenai kewangan, semuanya atas dorongan diri sendiri dan belajar dari ‘trial and error’.
Kesilapan demi kesilapan dilakukan tetapi pengalaman tersebut dijadikan iktibar untuk memperbaiki diri sendiri pada kemudian hari.
Catitan ini dikongsikan agar orang muda boleh belajar dengan cara mudah mengenai ilmu asas perancangan kewangan yang ramai tidak mengambil peduli.
Anda boleh huraikan dan pelajari lebih lanjut ilmu asas ini dengan pembacaan atau mentoring dengan sifu-sifu kewangan.
Apabila saya mula bekerja dengan Kerajaan pada awal tahun 80’an, gaji hanya $1120 sahaja (zaman tersebut masih guna $ Ringgit).
Gaji $1120 tidaklah besar mana kerana sewaan rumah teres setingkat di AU2A Keramat pun sudah $400 sebulan. Sewaan rumah teres double storey pula ialah $650.
Nasi ayam kedai Omar Bersaudara yang terkenal di Kampong Baru berharga $1.50 sepinggan manakala teh beng 40 sen segelas.
Kereta baru seperti Honda Accord berharga $23,000 dan tambang bas mini 40 sen satu trip.
Dengan gaji itu saya terpaksa ketepikan duit wajib dibayar setiap bulan seperti berikut:
1. Tambang bas - $100
2. Makanan minum harian - $150
3. Sewa rumah - $150
4. Bil utiliti - $50
4. Hadiah ibu bapa - $200
Kesemua $650 memang perbelanjaan wajib setiap bulan. Ini bermakna hanya tinggal $470 setiap kali saya menerima gaji.
Dari jumlah tersebut saya simpan $300 dan baki $170 untuk pembelian kecil seperti pakaian, buku dll.
Jika ada penjimatan saya akan masuk tabung simpanan.
Saya terpaksa belajar urus kewangan sendiri semasa belajar di UK kerana biasiswa sangat kecil dan perlu disiplinkan diri untuk belanja secara jimat.
Apabila dinaikkan pangkat dalam jawatan dan kenaikan gaji, saya masih berhati-hati menguruskan kewangan dan mula merancang pelan kewangan untuk bersara awal.
Alhamdulillah semua pengurusan kewangan berjalan dengan teratur semasa zaman bekerja, walaupun kadangkala ada turun naiknya.
Tentunya saya pernah melakukan kesilapan demi kesilapan tetapi saya belajar dan perbaiki diri dari kelemahan tersebut.
Saya bukan dari keluarga kaya tetapi alhamdulillah boleh bersara sekarang dengan bergaya, berkat usaha dari pelan kemewahan yang dimulakan dari zaman muda.
Ini catatan beberapa tips mudah dari pengalaman sendiri agar boleh dimanfaatkan oleh orang muda yang baru belajar melayari bahtera di lautan kehidupan fana ini:
1. Mahirkan diri dalam urusan hal ehwal kewangan dan kawal, kawal serta kawal perbelanjaan.
Anda mesti tahu apa ‘wants’ and ‘needs’ dalam kehidupan. Apa yang perlu dan apa yang tidak perlu.
Buat bajet kewangan mudah agar anda faham mana duit anda patut dibelanjakan setiap bulan.
Always be on top and in control of the financial situation AT ALL TIMES.
2. Guna sistem 30:30:30:10.
Dari pendapatan bulanan, cuba agihkan perbelanjaan seperti berikut:
30% - bayaran hutang besar rumah dan kereta.
30% - belanja sara hidup makanan, buku, utiliti dll.
30% - simpanan
10% - tabung travel.
Anda boleh ‘adjust’ sendiri apa peratusan yang sesuai untuk diri dan keluarga anda.
3. Tangguhkan pembelian kereta di mana boleh.
Pembelian kereta adalah aset yang merugikan kerana setiap tahun nilainya menurun (depreciate).
Selama 3 tahun selepas bekerja saya masih menaiki bas untuk ke pejabat dan apabila cukup wang simpanan saya membeli kereta secondhand Peugeot 504 berharga $4500.
Selepas 10 tahun bekerja baru saya beli kereta baru berharga $21,000 dari pinjaman kerajaan dengan ansuran $300 sebulan.
Bayaran ansuran dan bil petrol saya ‘recoup’ dari tuntutan perbatuan TnT.
Ini bermakna saya tidak keluar apa-apa tambahan kewangan dari bajet asal walaupun dengan pembelian kereta baru.
Baru-baru ini seorang rakan membeli kereta RM150,000 walhal gaji beliau hanya RM5000 sahaja.
Setiap bulan beliau terpaksa bayar RM3000 untuk ansuran kereta dan petrol.
Setiap hari beliau mengeluh tiada wang kerana nafsu memiliki kereta canggih.
Kalau perlu beli kereta, belilah kereta yang sepadan dengan pendapatan bulanan.
Jangan lebur duit dgn pembelian kenderaan mewah.
Ukur baju di badan sendiri dan jangan besar kerak dari nasi.
4. Target milik rumah sebelum usia 30.
Jika pembelian rumah di usia muda, bayaran bulanan adalah murah kerana jangka pinjaman yang panjang.
Lagi pun tidak rugi beli rumah kerana harga nya akan sentiasa naik (appreciate).
Cari ilmu bagaimana membeli rumah sebagai pelaburan.
5. Set Pelan Kemewahan sebelum umur 30.
Saya telah menulis banyak kali berkenaan Pelan Kemewahan ini dan insyaAllah akan kemaskini artikel di post akan datang.
Pelan Kewangan ini ialah langkah strategik jangka panjang agar anda boleh bersara awal dengan bergaya.
6. Rancang dari umor 20'an untuk lupuskan semua hutang bila capai umur 50 (atau secepat mungkin).
7. Rancang untuk mendapat pendapatan bulanan (passive income) minima 80% dari 'last drawn pay' apabila bersara.
8. Ambil insuran takaful perubatan, pelajaran anak dan simpanan semasa umur 20'an kerana harganya murah ketika usia muda.
9. Rancang untuk beli rumah setiap 3-5 tahun.
Jual rumah pertama dengan keuntungan dan beli rumah yang lebih berharga untuk tambahan nilai pelaburan.
10. Hadiah untuk ibu bapa dan sedekah secara istiqama sebagai satu amalan untuk murah rezki.
11. Elakkan diri dan keluarga dari amalan berhutang.
12. Jangan masuk skim cepat kaya.
Mana-mana skim yang menjanjikan pulangan lebih dari 10% besar kemungkinan ianya satu penipuan.
13. Kesihatan yg baik pada umor 50 adalah hasil dari cara hidup baik semasa umor 20'an dan 30'an.
Riadah dan jaga pemakanan semasa muda.
Tidak guna wang banyak jika anda tidak boleh menggunakannya kerana tidak sihat nanti.
“It is only your money if you spend it” kata orang Parit Jawa.
14. Hidup secara sederhana dan jangan bandingkan kehidupan anda dengan orang lain.
Semua manusia ada masalah tersendiri yang tidak diberitahu pada orang lain.
15. Don’t keep up with the joneses.
‘Keeping up with the joneses’ adalah pepatah inggeris yang bermakna anda perlu berlawan dengan jiran-jiran atau rakan-rakan dari segi pemilikan harta agar tidak dipinggirkan secara sosial.
Jika jiran atau rakan menukar kereta baru, adakah anda perlu membeli kereta yang lebih canggih dari mereka?
Hiduplah mengikut standard sendiri tanpa mengukur dengan standard orang lain.
16. Berdisiplin 'and nothing comes easy unless you are born with a golden spoon'.
Amma ba’du.
Rancang kewangan anda di usia muda agar selesa di hari tua.
Wallahu a’lam.
Allah knows best.
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar
FB: zainuddin omar.

Comments

Popular posts from this blog

Tip Public Speaking oleh Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar

POETRY FOR BEGINNERS! | 3 Poetry Exercises To Beat Writer's Block | How To Write Poetry

Kenapa Harus Kurangkan Membaca, Banyakkan Berfikir oleh Encik Imran Rasid