Panduan Membaca Buku –berserta huraian


Andai anda membaca sesebuah buku dengan baik, maka anda sudahpun membaca 1/3 karya-karya nukilan pengarang yang sama.


Saat saya remaja, seperti kebanyakan remaja terlebih semangat namun kurang akalnya saya sedaya upaya cuba membaca sebanyak mungkin buku, sehinggalah saya sedar bahawa tidak luak walau sebelanga lautan ilmu dengan usaha sebegitu. Maka saya terfikir, tidak adakah cara agar pembacaan itu lebih berkualiti dan berkesan? Hasil renungan itulah saya coretkan apa yang ada di bawah ini.


Berikut, adalah apa yang di sisi saya, dapat menambah baik cara kita membaca, setiapnya disertakan dengan huraian yang saya coretkan (taipkan) agar maksud saya sampai kepada anda.


1) Kualiti lebih penting daripada kuantiti

2) Baca setiap tulisan yang ada pada kulit buku

3) Jangan sekadar baca buku, bacalah minda pengarangnya

4) kenal pasti gaya bahasa

5) Faham dimensi masa dan zaman sesebuah karya

6) Baca isi kandungan sebelum bermula

7) Tulis nota 

8) Jangan takut buku yang tebal

10) Upacara khatam buku


1) Kualiti lebih penting daripada kuantiti.


Seiring perkembangan tabiat membaca warga Malaysia, maka terbitlah sejenis perlumbaan untuk menghabiskan bahan bacaan sepantas mungkin. Buku yang dilumati di wara-warakan di media sosial, lantas menjadi penanda aras baharu bagi aktiviti pembacaan. 


Tabiat ini banyak buruknya. Perlumbaan membaca sebanyak mungkin buku dalam setahun telah melahirkan budaya tidak sihat di mana budaya membaca dinilai secara kualitatif. Penilaian ini telah menghilangkan makna sebenar budaya membaca, iaitu untuk mendapatkan ilmu. Tidak sedikit pembaca yang cenderung memilih buku-buku yang mudah dan nipis, semata-mata agar mereka dapat meningkatkan jumlah bacaan. 


Kita harus memilih bahan bacaan. Dalam alaf internet ini, hakikatnya sekadar membaca bukanlah tabiat yang boleh dibanggakan kerana anda sememangnya harus membaca, hanya itu caranya anda dapat aktif di media sosial. 


Apa yang penting, adalah memilih bahan bacaan. Anda harus tahu apa yang berbaloi untuk anda lumati, dan apa yang perlu anda baca secara sepintas lalu. Anda harus tahu apa yang bermanfaat, dan apa yang sekadar bersifat informatif tanpa membentuk budaya ilmu peribadi. Penekanan haruslah diberi kepada bahan bacaan yang dapat memandaikan anda, sesungguhnya sebuah buku yang sekadar informatif semakin kurang nilainya hari demi hari, kerana segala maklumat semakin mudah didapati di hujung jari. Sebuah buku yang dapat membentuk disiplin ilmu pula, akan kekal abadi sebagai sesuatu yang berharga, kerana tiada kebijaksanaan buatan yang dapat menggantikannya.


2) Baca setiap tulisan yang ada pada kulit buku.


Setiap perkataan yang ada pada kulit buku, baik blub (penerangan ringkas tentang intipati terbaik sesebuah buku), tajuk, nama pengarang, bahkan penerbit haruslah diselidiki terlebih dahulu.

Seandainya ada kandungan blub yang tidak difahami, tiada salah andai anda membuat carian di internet tentang persoalan tersebut.

 

Tajuk sesebuah buku pula lazimnya adalah ringkasan kepada 

ringkasan, ia juga mengandungi isi tersirat seperti sensitiviti sesebuah buku (lazimnya ini membawa kepada penjinakkan tajuk) dan budaya membaca masyarakat (tajuk yang diberi dianggap mampu menarik perhatian).


Lakukan sedikit carian ringkas tentang latar belakang pengarang, tentang perjalanan hidupnya, prinsip-prinsip dirinya serta apa yang akan mempengaruhi pemikiran Sang Pengarang. Pengarang dari latar belakang miskin selalunya tidak akan menulis seperti orang kaya, pengarang wanita lain pendekatannya berbanding pengarang lelaki, dan yang paling mustahak pengarang yang bebas berkarya lain bahasanya dengan pengarang yang takut karyanya disekat pihak berkuasa.


Penerbit sesebuah buku pula lazimnya mempunyai perjuangan peribadi yang khusus disamping cita-cita umum mereka. Perhatikan buku-buku lain yang mereka terbitkan, dan anda akan dapat mengagak samaada mereka neutral (jarang sekali) atau punya kecenderungan politik. Semua faktor ini akan mempengaruhi gerak kerja editor-editor mereka, lantas menitijahkan berapa banyak kandungan asal buku yang dikeluarkan agar serasi dengan budaya penerbitan mereka.


Harus juga dicermati seandainya buku itu ditulis oleh ‘ghostwriter’ ataupun penulis siluman yang tidak akan mendedahkan nama mereka. Ini dapat diketahui melalui penekunan terhadap ucapan-ucapan pengarang, dan idea-idea yang lazim mereka lontarkan. Khidmat ghostwriter lazimnya digunakan para politikus yang tidak mampu menulis tetapi mahu kelihatan intelektual.


3)Jangan sekadar baca buku, bacalah minda pengarangnya


Pengarang adalah manusia, maka mereka akan berkelakuan seperti manusia. Idea-idea utama yang membentuk pendirian mereka akan diulang-ulang. Demikian juga pandangan politik mereka tentang sesuatu. Pembaca yang baik akan dapat mengesan perkara ini.


Falsafah hidup memainkan peranan penting dalam pencorakkan karya-karya mereka. Sebagai contoh, andai anda membaca ‘The Trial’ karya Franz Kafka secara sambil lewa, anda hanya akan mendapati ianya sebuah buku yang menyakitkan hati dan begitu pesimis terhadap hidup. Namun andai anda benar-benar meneliti tema-tema yang diulangnya, anda akan dapat menangkap falsafah nihilist serta surrealist, dan sarwa pandang ‘kafkaesque’ yang diunggulinya.


Pada masa itu anda sudahpun dapat mengagak apa pandangan politiknya, serta bagaimana nuansa buku-bukunya yang lain seperti ‘Metamorphosis’, dan ‘The Castle’. 


Bahkan kalau anda benar mencermati watak Kafka melalui bukunya, anda dapat mengagak bahawa dia seorang berbangsa Yahudi (sebuah bangsa yang sering dibantai birokrasi dan perundangan pada masa itu), bahkan seorang yang berfahaman anarkis.


4) kenal pasti gaya bahasa


Gaya bahasa tentunya memainkan peranan penting dalam menentukan samaada anda dapat memahami sesebuah karya dengan baik. Saya mencadangkan anda membaca sekurang-kurangnya sehingga tiga puluh muka surat sebelum membuat keputusan samaada untuk meneruskan pembacaan atau ditangguhkan dahulu. Hal ini kerana dalam kebanyakan keaadaan, bukan buku itu yang terlalu berat, namun penyusunan kata Sang Pengarang yang tidak biasa bagi anda.


Gaya bahasa juga dapat menentukan taraf intelektual pegarangnya. Pengarang yang baik akan berkata “pada pendapat saya, di sisi saya, pada hemat saya” dan sebagainya. Manakala pengarang yang buruk akan berkata “hakikatnya, namun pandangan mereka salah, apa yang betul sebenarnya adalah” dan sebagainya. Kata-kata ini mencerminkan disiplin ilmu pengarang, serta keterbukaannya terhadap pandangan orang lain.


Pengarang yang intelektual akan sedaya mungkin menghurai konsep yang hendak disampaikannya agar dapat di fahami pembaca, manakala pengarang yang buruk suka bersembunyi di balik jargon dan perkataan-perkataan susah yang sarat ‘ambiguity’ (ketaksaan) dan sukar dicerap ramai. Ini tentunya bukan keadaan yang selalu benar, namun secara kebiasaan kejadian ini dapat diperhatikan dalam banyak penulisan ahli politik yang takut dikritik.


Memahami tahap intelektual pengarang, dapat memberikan kita panduan samaada hendak menerima atau menolak apa yang ditulisnya.


5)Faham dimensi masa dan zaman sesebuah karya


‘Zeitgeist’, atau semangat zaman tentunya akan mempengaruhi buku yang ditulis. Sebagai contoh ‘Brave New World’ karangan Huxley dan ‘1984’ karangan Orwell diluncurkan kepada masyarakat yang hidup dalam suasana perang dunia pertama dan kedua. Kedua buku ini cuba mengungkap apa yang menjadi kebimbangan manusia ketika itu, iaitu diperintah oleh sebuah kerajaan autokratik yang punya kuasa menyeluruh terhadap kehidupan harian.


Selain dipengaruhi sejarah, karya penulisan juga boleh dilihat sebagai cuba mempengaruhi sejarah, dalam erti kata memberi amaran kepada manusia terhadap distopia (dunia rekaan yang serba buruk) yang boleh berlaku.


Risalah-risalah yang ditulis Marx pula, hanya dapat difahami andai kita mendalami apa yang berlaku di benua Eropah sekitar tahun-tahun revolusi 1948. Kehampaan terhadap revolusi yang gagal ini dapat dikesan melalui kebencian Marx terhadap mereka yang cuba memecahbelahkan kesatuan golongan kiri dalam penulisannya. 

              

6)Baca isi kandungan sebelum bermula


 Sebelum mula membaca, lihat dahulu isi kandungan buku tersebut. Ini dapat menyiapkan anda untuk menerima pandangan-pandangan dan penceritaan penulis. 


Baca juga setiap prakata, setiap sekapur sireh, penghargaan penulis, dan nota-nota yang dilampirkan. Sudah tentu ini akan menjadikan proses anda untuk mengkhatamkan sesebuah buku lebih lambat, namun ia juga akan memastikan anda sepenuhnya faham konteks penulisan yang diterbitkan. 


Sebagai contoh, apabila anda membaca sebuah buku yang diterjemahkan, baca dahulu nota penterjemah yang dilampirkan agar anda tahu rintangan yang dihadapi penterjemah, serta kalau ada beberapa bahagian yang hilang dalam proses terjemahan. Ini sering terjadi dalam usaha menulis dan menyusun karya recehan yang usang dan tidak terjaga, contohnya seperti karya Bakunin yang tersohor sebagai terlompat-lompat dan tidak sempurna.


Sulalatus Salatin yang diselenggara A. Samad Ahmad pula, secara terbuka dan terperinci memberitahu pembaca kesukaran yang dihadapinya dalam proses penerbitan buku itu, iaitu tentang manuskrip yang hilang, tidak dapat dibaca dan sebagainya. Ini sesuatu yang tidak akan disedari pembaca andai mereka terus melangkau kepada kandungan utama sesebuah buku.

         

7)Tulis nota


Conteng sahaja buku itu. Sebuah buku tanpa catatan tidak begitu ada nilai sentimental. Ia sama sahaja dengan ribuan buku lain yang dicetak bersamanya. Mungkin suatu hari anda menjadi orang besar, bayangkan betapa bernilainya salinan buku yang anda ada, apatah lagi andai ia sarat dengan idea dan kritikan anda sendiri.


Andai kata-kata ini tidak meyakinkan anda, anda boleh sahaja mencatat dapatan anda pada kertas pelekat dan sebagainya. Namun di sisi saya lebih mudah untuk diconteng terus pada halaman buku. Boleh juga menjadi rujukan apabila anda membacanya kembali, tidak perlu risau ke mana hilang/tertanggalnya nota yang ditulis. Kalau tidak selesa menggunakan pen, boleh sahaja anda gunakan pensil.


Tulis apa yang anda dapat daripada halaman itu, tuliskan pandangan balas anda, kritikan anda, bahkan cadangan anda. Pada ruang kosong yang lapang coretkan seperenggan dua pendirian anda tentang hal yang disentuh dalam bab itu.


Tidak perlu malu atau takut, anda manusia, pengarang juga manusia, walau akal mungkin berbeza namun anda dan pengarang berkongsi jiwa yang sama mulia. Gunakan kebebasan berfikir yang ada sebaiknya. Tidak perlu takut salah, kerana salah itu penyuluh kebenaran. Lagipun bukan anda kongsikan kepada orang lain (buat masa itu). Kalau pandangan anda salah sekalipun, mungkin orang seterusnya yang menggunakan buku itu boleh membetulkannya.


 8) Jangan takut buku yang tebal


Seiring ‘fetish’ (obsesi, pemujaan) buku yang melanda, ramailah yang mengejar jumlah buku yang dibaca setiap tahun, semata agar ia menjadi bukti mereka seorang ‘bibliophile’ (pencinta buku). 


Dalam perlumbaan ini buku-buku yang tebal, yang akan melembabkan perlumbaan mereka dalam mengejar pengiktirafan manusia terlalu sering diabaikan.


Buku setebal 1000 muka surat, pada hakikatnya lebih kurang sahaja ilmu yang dikandungnya berbanding 5 buah buku 200 muka surat, bahkan kadangkala lebih lagi.

 

Ini sangat merugikan pembaca, kerana lazimnya buku yang tebal berusaha mengupas persoalan yang berat, kerana itu ia perlu kepada jasad yang besar, kerana maknanya lebih banyak.


Buku-buku yang paling mempengaruhi saya lazimnya buku-buku yang tebal. ‘Sejarah Umat Islam’ oleh Hamka, ‘Doktor Umum’ oleh Tun Mahathir, ‘Fihi ma Fihi’ Jalaluddin Rumi, ‘Ancaman Islam’ karya Esposito, kesemua buku-buku ini begitu mengubah cara saya berfikir.


Buku yang tebal juga lebih terperinci. Sayang sekali hari ini ramai yang membaca novel Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk dan Merantau ke Deli, namun takut hendak membaca Sejarah Umat Islam dan buku-buku tebal lain daripada pengarang yang sama.


Andai pembaca menguliti ‘Doktor Umum’ karangan Tun Mahathir pula, tiada lagi keperluan mendesak untuk dibaca ‘Dilema Melayu’ oleh pengarang yang sama, dan ‘13 Mei Sebelum dan Selepas’ karya Tunku Abdul Rahman. Demikian baiknya membaca buku yang tebal, ia menjawab begitu banyak persoalan secara lebih tersusun lagi terperinci.


9) Ukur pembacaan melalui masa, bukan muka surat


Jangan sesekali mengukur tabiat membaca menggunakan jumlah muka surat. Ianya sebuah perlakuan sarat kepalsuan dan hanya akan merugikan pembaca.


Ada buku yang boleh dihabiskan semalam, ada buku yang sehari hanya beberapa muka surat sahaja boleh dihadam. Setiap buku punya tingkatannya, apa yang senang buat kita mungkin sukar buat orang lain, lantas imbalannya apa yang sukar buat kita senang pula buat pembaca lain.


Tetapkan masa yang khusus, sehari berapa jam masa yang anda hendak luangkan demi buku. Tidak perlu tergesa-gesa, anda membaca untuk pandai, agar dapat menelek perancangan ilahi, bukan demi pandangan manusia.


Kalau perlu mundar-mandir untuk menghadam sesebuah buku maka mundar-mandirlah. Kalau itu cara anda mengapa tidak? Tumit kaki saya sendiri hitam legam cuba mencerna kezaliman yang jatuh ke atas Zainuddin dalam memburu cinta Hayati.


10) Upacara Khatam Buku


Sebelum saya coretkan bahagian terakhir rencana ini, saya ingin memohon maaf andai saya kelihatan seperti cuba mengarah-arah anda semua. Sejujurnya para pembaca, setiap daripadanya disatukan dalam perjuangan mencari kebenaran. Kerana itulah saya nukilkan penulisan yang sedikit panjang ini


Di sisi saya perlu ada sedikit ritual, sedikit upacara (bukan upacara khusus secara keagamaan) yang harus dilakukan apabila anda hendak mengkhatamkan sesuatu bacaan.


Mungkin anda boleh ke kedai kopi, dan membaca helaian-helaian terakhir dengan penuh penghayatan. Hakikatnya kita masih manusia, dan kita mahukan pengiktirafan di atas sesuatu kejayaan, bahkan daripada diri sendiri. Ritual ini akan menyemarakkan lagi semangat anda untuk membaca, dan terus menerus membaiki diri.


Saya punya ritual yang sedikit pelik. Apabila helaian terakhir habis dibaca maka saya akan mengucapkan “Bismillahirrahmanirrahim”, sebagai tanda bahawa setiap buku yang habis dicermati adalah permulaan usaha kita membaiki dunia.


***

Saya memohon maaf kerana tidak dapat menulis semua yang ada dalam fikiran, mungkin pada waktu lain saya akan menyambungnya, saya juga mohon dimaafkan setiap salah dan canggung bahasa serta tanda baca, saya akan cuba membaikinya pada masa hadapan 


Bismillah?


nota: Ada sebuah buku yang baik bertajuk 'How to read a book' karya Mortimer J. Adler yang diterjemahkan kepada Bahasa Melayu dengan tajuk 'Bagaimana Membaca Buku'. Saya kira ia sebuah buku yang wajar ditekuni setiap pembaca.

Comments

Popular posts from this blog

BAHAN BANTUAN MENGAJAR ELEKTRONIK