BERLATIH
BERLATIH
Apa yang terjadi kepada kita jika kita berterusan berlatih atau melakukan perkara yang sama dengan konsisten selama bertahun-tahun?
Ia pasti akan menjadi sebahagian daripada diri kita kerana latihan dihayati oleh minda setiap hari dan diserap dalam jiwa kita.
Begitu juga, jika kita saban hari mengkritik orang, mencari salah orang lain atau berfikiran negatif? Pasti satu hari kita akan jadi pengkritik
hebat
atau seorang yang sangat berfikiran negatif kerana kita sentiasa berlatih menjadi orang negatif. Minda kita tidak kenal sama ada yang masuk itu benda baik atau benda buruk. Ia hanya serap. Jika yang masuk lebih banyak buruk, itulah yang dikumpulnya dan itulah kita. Ada kata-kata hikmat lama, 'Practice Makes Perfect' iaitu Berlatih Menjadikan Kita Sempurna. Malcolm Gladwell juga dalam bukunya, 'The Outliers' turut nengutarakan konsep berlatih selama 10,000 jam secara konsisten akan menjadikan seseorang itu pakar dalam bidangnya (konsep ini walau bagaimanapun telah disanggah oleh ramai pengkaji), tapi pengajarannya di sini bahawa semakin kerap kita berlatih, pengetahuan atau pengalaman kita itu akan menjadi kuat dalam diri kita.
Saya sedang berlatih untuk menterjemah dan menulis. Saya lakukannya hampir setiap malam dengan harapan satu hari nanti saya akan jadi penterjemah yang baik dan juga dapat menghasilkan buku saya sendiri nanti. Setiap malam, saya akan menterjemah bahan-bahan penulisan pelbagai genre sebagai latihan dari kanak-kanak, fiksyen dan bukan fiksyen. Inilah hobi baru saya sekarang.
Comments
Post a Comment