Catatan A. Muziru Idham
Permulaan kepada berfikir "out of the box" itu bermula dengan berfikir "out of the books" terlebih dahulu. Pembacaan sepatutnya harus fokus kepada kefahaman idea yang disampaikan oleh penulis buku dari kulit ke kulit dan kefahaman tersebut digali keluar daripada buku-buku dan menghubungkan wacananya terhadap realiti luar dengan pembinaan wacana idea kita sendiri.
Mindanya terpenjara oleh apa yang berada di dalam teks dan merasa sudah cukup berpuas hati dengan apa yang selesai dibacanya. Sewajarnya teknik pembacaan harus disistemkan semula agar pembacaan menjadi lebih kritikal untuk memahamkan idea teks dan menghubungkan idea sendiri terhadap konteks.
Sebab itu yang paling penting ialah kita tidak terlalu mengejar untuk membaca banyak buku, tetapi kita lebih fokus terhadap kefahaman idea daripada buku. Dan yang lebih penting ialah pemilihan buku yang dibaca, agar buku tersebut benar-benar adalah sebuah buku yang menggagaskan atau mensyarahkan sesebuah idea besar supaya akal kita lebih mampu mencerap sesuatu perkara secara major dan kritikal.
Pembacaan yang tidak berfokus dan tidak ada usaha untuk mendalaminya sebagai bidang ilmu menyebabkan kita sekadar menjadi pembaca yang penuh dengan maklumat dalam kepala, tetapi maklumat-maklumat tersebut tidak melorongkan kita kepada pengetahuan ilmu yang lebih luas dan mendasar.
----------------------------------
Telefon pintar memang suatu ketagihan yang berbahaya, setidak-tidaknya untuk diri aku. Benar, stamina pembacaan memang terasa benar menurunnya apabila ada telefon pintar di sebelah. Aku terasa penat untuk berhadapan dengan bacaan berat, lambat untuk memahami, atau rasa tidak sabar untuk memperuntukkan waktu yang lama untuk membaca. Sebab fikiran aku terganggu dengan rasa "curiosity" untuk mengetahui apa-apa yang terkini di alam maya.
Sebab itu aku sangat suka naik kapal terbang atau menaiki bas. Kalau naik kapal terbang, talian internet tiada jadi aku hanya ada pilihan untuk membaca atau menulis. Kalau naik bas, aku tidak boleh hadap skrin telefon terlalu lama sebab nanti akan pening teruk. Pilihan aku ada hanyalah membaca kerana menatap halaman kertas tidak menjadikan aku pening meski dalam kereta atau bas. Itulah masanya aku hanya betul-betul dapat fokus membaca kerana tiada gangguan telefon pintar menganggu fikiran aku untuk kemas kini setiap masa.
Aku selalu rasa bahawa tenaga pembacaan aku berkurangan sebab aku kepenatan. Tidak. Yang penat itu adalah kerana fikiran aku diganggu dengan rasa ingin tahu tentang hal-hal di dunia maya. Walhal kebanyakannya adalah hal-hal yang tidak perlu aku tahu dan fikirkan pun.
Kini, memang cuba ajar diri berjarak dengan telefon pintar sedikit demi sedikit apabila tiba waktu membaca. Aku tidak suka tetapkan waktu untuk membaca kerana aku lebih suka fleksibel. Tetapi demi melatih disiplin diri, aku terpaksa buat begitu dulu sehingga badan dan minda aku mula terbiasa. Contohnya, aku peruntukkan waktu satu jam cuma tanpa sebarang gangguan telefon pintar. Aku membaca atau menulis, dalam tempoh sejam itulah. Satu jam yang langsung tidak peduli apa-apa, kecuali membaca sambil menggugis coklat atau menghirup teh.
Apabila melatih begitu, aku lebih mudah untuk berhadapan dengan bacaan-bacaan yang berat dan lebih mudah untuk memahami. Daya tahan tumpuan lebih tinggi dan kepala rasa lebih tenang untuk menerima lambakan maklumat yang berat. Jika tidak, selalu rasa, "Aku payah nak faham sebab otak aku penat ni."
-------------------------------------
Comments
Post a Comment