Saya selalu merindui dan mencemburui zaman remaja saya. Barangkali disebabkan saya masih tidak diasak oleh apa-apa tanggungjawab selain hanya menelaah pelajaran, maka sebahagian besar waktu saya dihabiskan dengan pembacaan. Awal remaja saya dibesarkan oleh karya-karya Ramlee Awang Murshid, Zehann ur Rakhie, Agatha Christie, Faisal Tehrani, A. Samad Said, Usman Awang serta karya-karya hikayat klasik. Saya masih ingat lagi, Hikayat Umar Umaiyyah yang agak tebal itu saya habiskan sekitar seminggu dan masih ingat lagi tentang kisah pengembaraan Umar Umaiyyah yang bijak dalam penipuan, namun sikapnya itu adalah caranya dalam membongkar kebenaran. Harry Potter pula saya setia menghabiskan ketujuh-tujuh jilid terjemahan tanpa jemu. Bahkan terjemahan kitab Ihya' Ulumiddin dan Fi Zilal al-Qur'an pun saya bacanya perlahan-lahan pada senggang waktu rehat dengan mengisi waktu berteleku di perpustakaan sekolah.
Tetapi itu saya yang dulu; yang sentiasa punya waktu dan keghairahan untuk membaca. Tetapi meningkat dewasa, membaca itu sendiri adalah sesuatu yang agak sukar buat saya. Sukar itu datang daripada banyaknya tanggungjawab yang harus dilunaskan sebagai seorang dewasa. Waktu dan tenaga sentiasa dirasa tidak cukup. Tinggal sahaja, saya selalu cuba menghidupkan suasana pembacaan di sekeliling saya dengan sentiasa memastikan buku sentiasa di samping saya. Tetapi, mahu tidak mahu, kepenatan adalah halangan utamanya. Sudah tentu untuk menekuni buku-buku yang tinggi wacananya, dalam keadaan badan yang tidak larat, sukar untuk memberi perhatian bagi memahaminya patah-patah ayatnya dengan baik.
Di atas meja menelaah saya saja, banyak buku-buku yang belum terlunas haknya untuk dibaca. Itu tidak termasuk lagi buku-buku yang saya pinjam daripada perpustakaan pejabat ataupun jujukan PDF yang tersimpan dalam laptop. Orientalism itu, saya terhenti sekerat jalan pembacaan. Membacanya perlukan ketekunan, sedangkan kepenatan seringkali mengganggu tumpuan saya untuk menghadam wacana dan bahasanya yang agak tinggi. Lantas pembacaanya terhenti, yang sudah tentu suatu ketika nanti saya perlu mengulang bacanya semula. Hikayat Abdullah, saya belum mula mengulang bacanya lagi sedangkan ia adalah antara buku yang saya akan ulang baca pada setiap tahun. The Other Malaysia itu tidak apalah; ia adalah himpunan esei Farish Noor yang saya bacanya berdikit-dikit sewaktu rehat seketika daripada menaip di laptop ataupun menulis jurnal peribadi. Tinggal sahaja Ilham Di Tepi Tasik itu peneman setia saya setiap hari, yang saya akan ulang baca esei-esei Pak Samad itu tanpa jemu. Pak Samad bijak mengadun kata-kata dalam eseinya itu dengan penuh cermat dan indah, lantas bijak menjadikan eseinya tempat berkongsi cerita (bahkan sempat pula mengutuk Shahnon Ahmad dalam salah satunya eseinya!).
Ya, barangkali antara punca yang menyebabkan saya menjadi lelah adalah disebabkan penumpuan bacaan yang mula lebih mengkhusus. Sebab saya tidak lagi membaca sebagai hobi atau menambah informasi, tetapi membaca itu sendiri adalah proses saya berguru dengan pengarangnya demi memperdalam kefahaman terhadap wacana yang saya tekuni. Jadi, membaca seperti itu memerlukan banyak waktu untuk memberi tumpuan pada setiap hari, yang mana perhatian lebih banyak bercapah kepada hal-hal kerja lain yang perlu diselesaikan.
Proses membaca saya adalah seperti rantaian MLM; atas satu wacana, saya akan mula membuka kitab utamanya. Daripada kitab utama itu, akan menemukan pula saya kepada bacaan-bacaan lain yang perlu ditelaah juga untuk memahamkan wacananya dengan lebih mendalam. Pernah suatu ketika, saya mengambil masa berminggu-minggu lamanya menelaah pelbagai bacaan hanya untuk memahamkan konsep geneologi yang dibawa oleh Michel Foucault. Itu disiplin pembacaan yang saya terapkan untuk diri saya, tetapi disiplin sebegitulah yang sentiasa digugat oleh sisa-sisa waktu dan tenaga yang jarang menyebelahi saya.
Saya sering tertanya-tanya, bagaimana para ilmuwan menumpukan waktunya dengan ilmu? Tetapi apabila saya membaca catatan Farish Noor dalam pengenalan buku What Your Teacher Didn't Tell You dan The Long Shadow of the 19th Century, saya fikir, banyak harga yang terpaksa dikorbankan jika benar-benar hendak menekuni diri sebagai seorang akademia. Saya juga tertanya-tanya, apakah saya bersedia untuk melalui proses sebegitu jika saya benar-benar hendak serius dengan ilmu?
Mencemburui waktu lalu hanyalah sekadar perasaan yang tidak akan tertunaikan penyelesaian yang diidamkan. Jam memutar waktu yang Hermione Granger gunakan untuk kembali kepada waktu lalu dalam siri Harry Potter adalah tidak wujud. Kesalkannya juga tidak membawa erti apa-apa. Hanyalah yang boleh dilakukan pada masa sekarang adalah kembali menyusun waktu-waktu hidup agar ruang waktu belajar sentiasa ada untuk setiap hari. Saya selalu resah kalau-kalau menjadi tipikal pendakwah yang mengulang modal setiap kali menyampaikan ceramah dalam penulisan-penulisan saya.
Ah, terasa seperti orang tua yang mengomel entah apa-apa malam ini! Harap tulisan ini melintasi garis masa Facebook orang lain seperti angin; yang berlalu dan pergi tanpa sempat menghulurkan lambaian.
Comments
Post a Comment